Anugerah Persuratan

Majlis Penuh Anugerah Persuratan 2023

Anugerah Persuratan merupakan usaha dwitahunan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) sejak 1993, demi mengiktiraf para penulis yang bergiat dalam seni persuratan. Selain pengiktirafan, Anugerah ini juga meningkatkan dan memupuk perkembangan penulisan dalam kalangan penulis Bahasa Melayu, menggalakkan penerbitan karya yang bermutu dan memasyarakatkan bidang persuratan. 

Anugerah Persuratan 2023 dianjurkan pada 11 November 2023, di River Room, Muzium Tamadun Asia (ACM). Lima penulis tempatan diberi pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam dunia persuratan Singapura. Acara ini telah dirasmikan oleh Menteri Perhubungan dan Penerangan & Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Puan Josephine Teo.

 

Penerima Anugerah Tun Seri Lanang, Encik Jamal Ismail.

 


PENERIMA ANUGERAH TUN SERI LANANG
Jamal Ismail

PENERIMA ANUGERAH HARAPAN
Khairool Haque

PENERIMA HADIAH PERSURATAN 
Jamal Ismail (Novel)

Farihan Bahron (Cerpen)

Khairool Haque (Puisi)

Raudhah Alias (Sastera Kanak-Kanak)

PENERIMA HADIAH PENGHARGAAN

Anwar Hadi (Drama untuk Pentas)

City Mazita Maswadi (Esei / Kajian Sastera)

 

Setinggi-tinggi perhargaan daripada pihak MBMS kepada Majlis Buku Singapura (SBC) dan Lembaga Warisan Negara (NHB), atas sokongan mereka dalam menjayakan Anugerah Persuratan 2023. 

Majalah Anugerah Persuratan boleh dimuat turun di sini

 

Penerima Anugerah Persuratan 2020/2021  bersama ahli MBMS Dr Azhar Ibrahim, Tetamu Kehormat Menteri Edwin Tong, dan Pengerusi MBMS Profesor Faishal Ibrahim.  



Para penerima Anugerah Persuratan 2020/2021


 

Dalam gambar: Pemerima Anugerah Tun Seri Lanang, Puan Rasiah Halil (kiri) dan Anugerah Harapan 2017, Encik Farihan Bahron ketika di majlis Anugerah Persuratan 2017. (Picture source: Berita Harian)

 

 

Objektif Anugerah Persuratan

Anugerah Persuratan dilaksanakan dengan objektif berikut:           

  1. Memberikan pengiktirafan kepada para penulis yang telah menghasilkan karya yang bermutu dan bernilai;
  2. Meningkatkan dan memupuk perkembangan penulisan dalam kalangan penulis berbahasa Melayu;
  3. Menggalakkan penerbitan karya yang bermutu; dan
  4. Memasyarakatkan bidang persuratan.
 Anugerah yang diberikan untuk Anugerah Persuratan

I. Anugerah Tun Seri Lanang

Anugerah Tun Seri Lanang (yang bernilai $5,000) diperuntukkan kepada seorang tokoh persuratan yang memiliki nilai unggul sebagai:

  • Tokoh seni yang ulung di mata masyarakat berbilang bangsa dan budaya Singapura;
  • Tokoh antarabangsa melalui pengiktirafan karya besar mereka; 
  • Pejuang seni dalam erti kata menggunakan sebahagian besar usia dan kehidupan mereka untuk menyubur dan menyemarakkan bidang yang dihayati; atau
  • Penyumbang dan pemaju pemikiran masyarakat dalam konteks pembangunan melalui karya mereka (dalam bentuk kreatif atau bukan kreatif); dan
  • Tokoh teladan yang menimba ilmu sepanjang hayat yang terus berusaha meningkatkan ilmu dalam bidang persuratan.

Geran sejumlah $3,500 diberikan kepada sesiapa yang bertauliah dan ingin mengkaji keperibadian, sumbangan, pemikiran, dan hasil penulisan tokoh yang terpilih.

  II. Anumerta Tun Seri Lanang

Anumerta Tun Seri Lanang diberikan kepada tokoh persuratan yang telah meninggal dunia. Kriteria pemilihan tokoh sama seperti Anugerah Tun Seri Lanang. 

Hadiah (yang bernilai $2,000) akan diberikan kepada keluarga tokoh dan $3,500 lagi dalam bentuk geran kepada sesiapa sahaja yang bertauliah dan ingin menulis mengenai keperibadian, pemikiran dan falsafah, iltizam dan sumbangan Tokoh Anumerta ini.

III. Anugerah Harapan
  
Anugerah Harapan (yang bernilai $3,000) diberikan kepada penulis di bawah usia 40 tahun yang menampakkan potensi dalam bidang persuratan sama ada:
  • Menjadi teraju utama kepada usaha-usaha menggerakkan bidang persuratan; baik cerpen, sajak, novel, drama, karya bukan sastera dan sebagainya;
  • Menggunakan masa untuk berkongsi ilmu dan kemahirannya dalam bidang persuratan kepada golongan muda atau pelajar; dan
  • Menghasilkan karya yang memberikan isi dan nilai tambah dalam penulisan kreatif dan bukan kreatif sama ada dalam bentuk media bercetak atau elektronik untuk memajukan pemikiran masyarakat.

IV. Hadiah Persuratan

Hadiah sastera (yang bernilai $3,500) diberikan kepada penulis dalam pelbagai genre seperti novel, cerpen dan puisi sebagai pengiktirafan atas keunggulan sastera mereka untuk karya mereka.